Salam Ukhuwah


Selasa, 20 November 2012

Bahasa Melayu


Rancangan Harian dan Refleksi

RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN ( MAKRO PENGAJARAN )

Mata Pelajaran: Bahasa Melayu
Darjah             : 3
Bilangan murid: 25 orang
Tarikh              : 16 Oktober 2012
Masa                : 9.10 – 9.40 pagi  ( 30 minit )
Tajuk               : Kata Ganti Nama Diri Orang

Hasil Pembelajaran:
Pada akhir pembelajaran, pelajar dapat:
i)  Mengetahui tentang kata ganti nama diri orang
ii) Menggunakan kata ganti diri yang betul semasa berinteraksi.

Langkah pengajaran/ isi pelajaran:

Aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran

i)          Set induksi ( 5 minit ) :-
- Guru menayangkan cerita Upin & Ipin bertajuk “Cerita Gembala Kambing”
- Guru mengulangi beberapa dialog watak dalam cerita tersebut sambil mengarahkan murid   
  mendengar dengan teliti dialog yang diucapkan.
- Guru memperkenalkan tajuk pengajaran hari ini – Kata Ganti Nama Diri Orang

 ii)        Pengajaran ( 12 minit ) :-
- Guru memperkenalkan tajuk pengajaran iaitu Kata Ganti Nama Diri Orang dengan  
   menayangkan slaid PowerPoint
- Guru menerangkan maksud setiap kata ganti nama orang yang dipaparkan.
- Guru meminta murid membina ayat menggunakan kata ganti nama diri orang yang sedang      
    dibincangkan. 

iii)        Aktiviti ( 10 minit ) :-
-  Guru mengedarkan kertas lembaran kerja
-  Guru menjelaskan cara aktiviti dijalankan
-  Murid menjalankan aktiviti melengkapkan ayat dengan kata ganti nama yang paling 
   sesuai.
-  Guru memantau dan memberi bimbingan.
-  Murid di minta membacakan ayat yang telah mereka lengkapkan.
-  Guru dan murid membincangkan dan membaca jawapan tersebut bersama-sama
-  Lembaran kerja dikumpulkan untuk disemak oleh guru.

iv)        Penutup ( 3 minit ):
- Guru membuat kesimpulan dan rumusan isi kandungan pelajaran hari ini

Nilai                : Memberi perhatian, patuh kepada arahan, bekerjasama
ABM               : Komputer riba, LCD Projektor, Youtube Upin & Ipin, Lembaran kerja
KBKK                        :Memahami, mengkategorikan, menjana idea, memberi pendapat
Pengetahuan sedia ada: Murid biasa menggunaka kata ganti nama dalam perbualan seharian mereka



 Soalan Lembaran Kerja.

Nama : ……………………………………………..             Tarikh : ………………

Lengkapkan ayat-ayat  di bawah berdasarkan jawapan yang paling sesuai yang diberikan.


saya,        kamu,      anda,       beliau,     mereka, 
 
patik,       beta,       baginda,   kami,       aku, 
       


 
 





1.  Boleh ……………….. tolong cikgu, kata Nursyazana kepada Cikgu  
    Ramli
2.  ………………… hendak ke mana, tanya Hamdan kepada            
     kawannya Jamhari.
3.  …………………. berlima akan pergi melancong ke Indonesia pada
     bulan hadapan.
4,  Izinkan  ………………….. menghapuskan segala penjahat yang
    bermaharajalela di kawasan itu kata Laksamana Hang Tuah
    kepada Sultan.
5.  Sultan Mansur Shah sangat disayangi oleh rakyat jelata, …………...
    sering membantu rakyat yang susah.
6.  Bolehkah …………………. pergi berehat cikgu, tanya Zaiton dan
    kawan-kawannya.
7.  Pak Mazlan merupakan seorang Ketua Kampung,  ………………..
    sangat dihormati oleh penduduk kampungnya.
8.  Demi menjayakan rancangan ini,  …………. berjanji akan
    berusaha bersungguh-sungguh, kata Siti kepada kawannya.
9.  …………………. ingin pergi memburu, titah Sultan Muzaffar Shah
    kepada Bendahara.
10. Borang yang telah ………………. lengkapkan hendaklah disrah
     kepada urusetia, kata pengerusi majlis itu.



Refleksi Makro Pengajaran Bahasa Melayu Tahun 3:

Semasa menjalankan makro pengajaran saya telah dapat mengesan beberapa kekuatan dan kelemahan pengajaran saya. Antara kekuatannya adalah saya dapat mengawal kelas dengan baik. Persediaan rapi telah dibuat sebelum memulakan makro pengajaran ini, bagi mengelakkan sebarang masalah berlaku semasa sesi pengajaran makro pengajaran ini. Persediaan awal adalah sangat penting bagi membantu saya menyampaikan isi kandungan pelajaran dengan baik, mematuhi masa yang telah ditetapkan dan menjalankan segala aktiviti yang dirancang dengan kemas dan teratur. Pemilihan kaedah yang sesuai dapat menarik minat murid dan dapat memastikan murid-murid berada dalam keadaan terkawal supaya aktiviti pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar.
Tayangan cerita Upin & Ipin sebagai set induksi dapat meningkatkan motivasi murid untuk belajar selain memberi keseronokan kepada murid. Ini dapat dibuktikan melalui kerjasama yang baik dan penglibatan diri secara aktif dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh guru. Saya dapati mereka cukup seronok dan teruja dengan aktiviti-aktiviti pembelajaran yang diadakan. Saya juga menyediakan contoh ilustrasi agar murid dapat memahami topik yang disampaikan dengan jelas dan menggunakan teknik ganjaran dan pujian untuk menghargai murid dan menarik minat murid. Untuk menumpukan kepada topik pengajaran saya telah menumpukan beberapaa dialog yang diucapkan oleh watak dalam cerita tersebut.
Penggunaan ICT dalam pengajaran saya dapat menarik minat murid dan membantu mereka memahami dengan jelas terhadap isi pelajaran yang ingin saya sampaikan. Penyampaian menggunakan persembahan “slaid powerpoint” dapat menjimatkan masa di mana saya tidak perlu menulis di papan putih. Dengan menggunakan tetikus tanpa wayar dapat memberi kebebasan kepada saya dapat bergerak ke seluruh kelas tanpa perlu berdiri berhampiran komputer. Saya dapat menggerakkan persembahan powerpoint saya walaupun saya berada di belakang kelas sambil membimbing murid membina ayat berdasarkan perkataan yang dibincangkan.
Selain itu, kelantangan suara guru juga memainkan peranan yang penting kerana suara yang lantang dan tegas akan memudahkan murid mendengar dengan teliti dan sekaligus membantu pemahaman mereka terhadap pelajaran yang ingin disampaikan oleh guru. Segala arahan guru juga akan dapat dipatuhi oleh murid dan ini akan memudahkan guru menjalankan aktiviti yang telah dirancang dengan baik dan lancar. Ketegasan dalam menyampaikan pelajaran akan membuatkan pelajar lebih hormat kepada guru. Kejelasan dalam memberikan arahan merupakan salah satu kemahiran penting yang perlu ada pada setiap guru. Ini adalah kerana kejelasan dalam menyampaikan isi pelajaran boleh mempengaruhi peribadi pelajar agar lebih berkeyakinan untuk menimba ilmu. Selain itu, pertuturan yang baik dapat melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran  iaitu menggunakan bahasa yang standard  dan mudah difahami oleh pelajar ketika mengajar, suara jelas dan lantang serta penyampaian yang lancar. Arahan yang diberikan dengan jelas, memudahkan murid faham, seterusnya melakukan tugas mengikut arahan dan panduan yang diberikan. Tindakan susulan oleh murid yang tepat menunjukkan kefahaman murid terhadap penyampaian guru berkenaan isi pelajaran.
Antara kelemahan yang dikenalpasti semasa menjalankan makro pengajaran ini ialah saya tidak mengaitkan peristiwa semasa dalam sesi induksi. Saya juga tidak mencadangkan aktiviti susulan kepada murid. Lembaran kerja yang disediakan tidak mengikut aras kebolehan murid. Saya dapati murid yang lemah agak sukar menyiapkan tugasan yang diberikan.Saya juga tidak mengaitkan dengan pelajaran yang akan datang. Hal ini akan menyebabkan murid tidak tahu apa yang ingin diajar pada pengajaran seterusnya dan mungkin akan menyebabkan murid tidak membawa barang yang diperlukan. Dalam konteks bilik darjah waktu untuk guru berinteraksi dengan murid-murid begitu terhad. Oleh itu segala maklum balas yang berlaku diantara kedua belah pihak bukan sahaja terjadi secara spontan dan perlu segera, malah ianya seolah-olah tidak langsung memberi kesempatan untuk merancang dan berfikir. Oleh sebab itu adakalanya saya terlupa untuk menyampaikan sesuatu perkara yang ingin disampaikan kepada murid.
Hasil pemerhatian saya ke atas rakaman pengajaran dengan rancangan pengajaran harian yang telah dibuat, didapati masa yang digunakan untuk menjalankan sesuatu langkah pengajaran tidak seiring. Hal ini berlaku atas beberapa faktor iaitu terdapatnya gangguan-gangguan dan hal-hal lain yang menyebabkan masa yang lebih diambil untuk melakukan sesuatu langkah. Jika langkah menyampaikan isi pelajaran terganggu, hasil penbelajaran yang dirancang akan turut tergendala. Jadi, pengagihan masa perlu dioptimumkan sebaik mungkin. Bagaimanapun, masa keseluruhan pengajaran tidak terlalu terjejas. Pemantauan di dalam kelas agak baik .Saya tidak hanya berada dihadapan kelas tetapi memantau aktiviti murid disetiap penjuru kelas. Saya berjalan dan memantau aktiviti yang dilakukan oleh murid. Dengan melakukan pemantauan secara tidak langsung saya akan dapat mengawal keadaan dan disiplin murid dengan lebih baik. Melalui pemantauan juga saya dapat mengesan murid yang lemah dan membimbingnya dengan lebih dekat.

Setelah kajian dijalankan terhadap makro pengajaran yang telah saya jalankan, terdapat beberapa kelemahan yang telah saya lakukan dan penambahbaikan perlu dilakukan bagi memperbaiki kelemahan pengajaran saya. Antaranya adalah ketepatan masa dalam menyampaikan pelajaran dan pemantauan murid didalam kelas. Saya akan cuba menggunakan ruang masa dengan efektif supaya pengajaran dan pembelajaran mengikut rancangan yang disediakan. Guru perlu mengikuti masa yang telah ditetapkan bagi melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran. Menepati masa akan memudahkan guru menyelesaikan setiap bahagian penyampaian pengajaran dari mula hingga akhir pengajaran. 
Pada pelajaran yang akan datang, saya akan melakukan penambahbaikan yang sepatutnya dengan mengambil tindakan-tindakan seperti memperbaiki set induksi agar lebih mengujakan murid, memperbanyakkan aktiviti berpasangan dan berkumpulan, memperbanyakkan aktiviti menjana idea dan sumbang saran oleh murid, pengawalan masa setiap aktiviti dan memberi nasihat dan dorongan kepada murid. Lembaran  kerja yang disediakan mesti sesuai mengikut aras kebolehan dan keupayaan murid. Jika aras pengajaran guru tinggi, pelajar yang lemah tidak dapat mengikutnya, akhirnya mereka akan ketinggalan dalam pelajarannya. Apabila aras pengajaran itu rendah, pelajar-pelajar yang cerdik tidak akan memberikan tumpuan terhadap pengajaran guru. Ini akan merugikan pelajar yang cerdik, kerana guru terpaksa menumpukan lebih banyak masa kepada pelajar yang lemah.Salah satu cara untuk mengatasinya ialah guru perlu mengumpulkan pelajar yang cerdik ke dalam satu kumpulan dan pelajar yang lemah dalam satu kumpulan yang lain berdasarkan kebolehan dan penguasaan sesuatu kemahiran.
Sekian, terima kasih.

1 ulasan: